Memaparkan catatan dengan label jatuh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jatuh. Papar semua catatan

Selasa, 14 Oktober 2025

Terselamat Apabila Jatuh, Dengan Apple Watch di Tangan

Salam,

1. Hari ini saya mendapat pengalaman baharu kerana terjatuh apabila menuruni sebuah cerun yang tidak sampai tingginya lapan anak tangga.

2. Keluar dari Pusat Sains Negara, saya tidak perasan ada tangga untuk turun ke bawah ke jalan raya, justeru, saya dan anak berusia tiga tahun, Ahmad, menuruni cerun berumput di sebelah jejantas ke seberang jalan, yang membawa turun ke Taman Prasejarah yang mempunyai beberapa replika dinosaur.

3. Sedang menuruni cerun itu sambil memegang tangan kiri Ahmad, tiba-tiba, saya tergelincir dan jatuh terduduk di atas otot gluteus maximus, dengan dua kaki melunjur ke hadapan.

4. Sambil otak memikirkan apa yang berlaku, saya melihat Ahmad, dan bertanya jika dia cedera, namun, nasib baik, Ahmad tidak ada apa-apa.

5. Kemudian, saya mengalih mata ke tangan kiri dan melihat Apple Watch mengeluarkan amaran jatuh, sambil bergegar (vibrate) dan mengeluarkan bunyi penggera (alarm).

6. Di skrin tertulis, “Kelihatan anda telah terjatuh”, diikuti dengan “SOS Panggilan Kecemasan”, dan di bawahnya terdapat satu butang, “Saya tidak apa-apa”.

7. Al-hamdu liLlah, kerana saya tidak apa-apa, maka saya pun menekan butang “Saya tidak apa-apa”.

8. Di skrin Apple Watch seterusnya memaparkan mesej, “Berikan sedikit keterangan”, dan di bawahnya terdapat dua pilihan, “Saya jatuh, tetapi saya OK”, dan “Saya tidak jatuh”.

9. Saya menekan butang pertama memberitahu bahawa saya jatuh, tetapi saya tidak apa-apa.

10. Kejadian hari ini menginsafkan saya, dan memberikan satu keyakinan tentang kepentingan Apple Watch untuk masalah terjatuh, yang merupakan salah satu kejadian luar jangka.

11. Bayangkan jika saya terjatuh dan tidak sedarkan diri atau mati, apakah yang akan berlaku kepada Ahmad? Dia tidak dapat menggunakan telefon, dan dalam usianya tiga tahun, pasti tidak dapat memberikan banyak maklumat kepada pihak berkenaan.

12. Begitu juga jika ibu bapa, atau warga emas yang mungkin terjatuh di bilik air, tangga, atau di dalam rumah yang berkunci. Tidakkah mereka mungkin akan menjadi mayat dahulu sebelum dijumpai dalam keadaan mereput?

13. Begitu juga dengan pendaki gunung, pekerja binaan tinggi yang menggunakan perancah (scaffolding), atau warga pendidik yang sering naik turun tangga, Apple Watch dapat membantu dalam keadaan kecemasan apabila terjatuh.

14. Untuk mengaktifkan fungsi keselamatan ini, buka iPhone > Setting > Emergency SOS > Crash Detection dan hidupkan butang.

15. Crach Detection ini sebenarnya berfungsi untuk mengesan kemalangan jalan raya, satu lagi ciri keselamatan dalam Apple Watch.

16. Seterusnya, tambahlah beberapa orang dalam Emergency Contact.

17. Untuk melihat data jatuh ini, buka apps Health dan pilih “Show All Health Data”, seterusnya pilih cari “Number of Times Fallen”.

18. Di bahagian bawah, pastikan Fall Detection sudah dihidupkan, dan “Always on”.

19. Dengan data jatuh ini, kekerapan jatuh boleh direkodkan dan jika perlu boleh dikongsikan dengan doktor.

20. Justeru, mungkin sudah tiba masanya untuk anda pula memakai Apple Watch, atau menghadiahkannya kepada orang tercinta.

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

12 Oktober 2025

Maktabah Syamilah untuk MacBook

Salam, 1.Berita baik bagi penuntut/ pengajar ilmu-ilmu agama/ Islam/ `Arab, terutama bagi pengguna Maktabah Syamilah, kerana ia kini sudah...