Selasa, 14 Oktober 2025

Terselamat Apabila Jatuh, Dengan Apple Watch di Tangan

Salam,

1. Hari ini saya mendapat pengalaman baharu kerana terjatuh apabila menuruni sebuah cerun yang tidak sampai tingginya lapan anak tangga.

2. Keluar dari Pusat Sains Negara, saya tidak perasan ada tangga untuk turun ke bawah ke jalan raya, justeru, saya dan anak berusia tiga tahun, Ahmad, menuruni cerun berumput di sebelah jejantas ke seberang jalan, yang membawa turun ke Taman Prasejarah yang mempunyai beberapa replika dinosaur.

3. Sedang menuruni cerun itu sambil memegang tangan kiri Ahmad, tiba-tiba, saya tergelincir dan jatuh terduduk di atas otot gluteus maximus, dengan dua kaki melunjur ke hadapan.

4. Sambil otak memikirkan apa yang berlaku, saya melihat Ahmad, dan bertanya jika dia cedera, namun, nasib baik, Ahmad tidak ada apa-apa.

5. Kemudian, saya mengalih mata ke tangan kiri dan melihat Apple Watch mengeluarkan amaran jatuh, sambil bergegar (vibrate) dan mengeluarkan bunyi penggera (alarm).

6. Di skrin tertulis, “Kelihatan anda telah terjatuh”, diikuti dengan “SOS Panggilan Kecemasan”, dan di bawahnya terdapat satu butang, “Saya tidak apa-apa”.

7. Al-hamdu liLlah, kerana saya tidak apa-apa, maka saya pun menekan butang “Saya tidak apa-apa”.

8. Di skrin Apple Watch seterusnya memaparkan mesej, “Berikan sedikit keterangan”, dan di bawahnya terdapat dua pilihan, “Saya jatuh, tetapi saya OK”, dan “Saya tidak jatuh”.

9. Saya menekan butang pertama memberitahu bahawa saya jatuh, tetapi saya tidak apa-apa.

10. Kejadian hari ini menginsafkan saya, dan memberikan satu keyakinan tentang kepentingan Apple Watch untuk masalah terjatuh, yang merupakan salah satu kejadian luar jangka.

11. Bayangkan jika saya terjatuh dan tidak sedarkan diri atau mati, apakah yang akan berlaku kepada Ahmad? Dia tidak dapat menggunakan telefon, dan dalam usianya tiga tahun, pasti tidak dapat memberikan banyak maklumat kepada pihak berkenaan.

12. Begitu juga jika ibu bapa, atau warga emas yang mungkin terjatuh di bilik air, tangga, atau di dalam rumah yang berkunci. Tidakkah mereka mungkin akan menjadi mayat dahulu sebelum dijumpai dalam keadaan mereput?

13. Begitu juga dengan pendaki gunung, pekerja binaan tinggi yang menggunakan perancah (scaffolding), atau warga pendidik yang sering naik turun tangga, Apple Watch dapat membantu dalam keadaan kecemasan apabila terjatuh.

14. Untuk mengaktifkan fungsi keselamatan ini, buka iPhone > Setting > Emergency SOS > Crash Detection dan hidupkan butang.

15. Crach Detection ini sebenarnya berfungsi untuk mengesan kemalangan jalan raya, satu lagi ciri keselamatan dalam Apple Watch.

16. Seterusnya, tambahlah beberapa orang dalam Emergency Contact.

17. Untuk melihat data jatuh ini, buka apps Health dan pilih “Show All Health Data”, seterusnya pilih cari “Number of Times Fallen”.

18. Di bahagian bawah, pastikan Fall Detection sudah dihidupkan, dan “Always on”.

19. Dengan data jatuh ini, kekerapan jatuh boleh direkodkan dan jika perlu boleh dikongsikan dengan doktor.

20. Justeru, mungkin sudah tiba masanya untuk anda pula memakai Apple Watch, atau menghadiahkannya kepada orang tercinta.

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

12 Oktober 2025

Khamis, 31 Oktober 2024

Mahu Tukar MacBook Baharu?

Salam,

1. Pengenalan cip M4 dan keluarganya sangat mengujakan untuk kita menukar MacBook sedia ada kepada yang baharu.

2. Langkah pertama sebelum berfikir apa-apa, ialah dapatkan harga semasa bagi MacBook sedia ada.

3. Caranya, dengan menggunakan iPhone, buka apps Apple Store.

4. Sila pastikan bahawa apps ini bukan App Store, sebaliknya Apple Store.

5. Di penjuru kanan atas, tekan pada muka atau profil sendiri.

6. Pilih Devices, dan semua peranti Apple anda akan terpapar di sini.

7. Klik pada MacBook anda, lihat terus ke bahagian About this device.

8. Di bahagian bawahnya, terdapat dua item, iaitu Order date, dan Estimated Trade-in Value.

9. Baca nilai yang tertera, contohnya Up to RM 2850, yang bermaksud, harga maksimum untuk jualan semula kepada pihak Apple ialah RM 2850.

10. Anda boleh patah balik kepada devices, dan lihat pada item lain yang ada.

11. Jika anda sudah lihat harga peranti anda, dan anda mampu untuk membayar harga tambahan bagi mana-mana MacBook baharu, atau peranti baharu, maka silakan buat tempahan.

12. Jika tidak, maka selesai urusan anda di sini, dan kumpullah duit atau kad kredit untuk pembelian akan datang.

13. Perlu diketahui bahawa harga akan susut dengan peredaran masa, iaitu semakin lama, harga jualan balik peranti anda akan menurun.


Ditulis oleh,

Mohd ‘Adlan bin Mohd Shariffuddin

31 Oktober 2024

Isnin, 23 September 2024

Mahu Tukar kepada iPhone terkini?

Salam,


1. Ramai antara kita adalah pengguna iPhone, dan dengan pengumuman iPhone terkini (iPhone 16 pada September 2024), mungkin ramai yang terasa ingin untuk bertukar kepada iPhone yang terkini.

2. Dengan Apple, jika anda ingin bertukar kepada iPhone yang lebih baharu, ia bukanlah sesuatu yang sukar.

3. Langkah pertama ialah anda perlu memastikan anda melakukan back-up untuk iPhone anda, dan menyediakan kad kredit (atau debit) dengan wang yang mencukupi.

4. Seterusnya, jika mampu, anda boleh terus ke Apple TRX, atau mana-mana tempat yang menawarkan khidmat belian balik (trade-in).

5. Kemudian, bawa telefon anda dan beritahu ingin trade-in dan beli iPhone terkini.

6. Anda mungkin perlu untuk menyemak stok, jika masih ada pilihan model, warna, dan storan yang anda kehendaki, atau beralih kepada apa yang tersedia di Apple TRX itu atau mana-mana premis yang sesuai.

7. Seterusnya, personel (jurujual/ juruteknik) di Apple TRX akan menggunakan mesin mereka untuk menyemak status telefon semasa anda, dan menyatakan harga belian telefon tersebut.

8. Jika anda bersetuju dengan harga belian itu, harga itu akan ditolak dari harga jualan iPhone model terkini yang ingin anda beli.

9. iPhone baharu anda akan dibawa, dan setelah pembayaran dibuat, anda perlu melakukan pindahan data (data transfer) dari iPhone semasa kepada iPhone baharu.

10. Pastikan anda ingat Apple ID, kata laluan dan kod laluan (passcode) anda, kerana ia akan digunakan beberapa kali.

11. Fungsi Find My perlu dinyahaktifkan dari telefon semasa, dengan menggunakan Apple ID dan kata laluan.

12. Jika tidak ingat, paling mudah tulis dan simpan di dalam dompet, khusus untuk proses pembelian ini.

13. Untuk pindahan data, ia akan mengambil masa antara 30 minit hingga 4 jam, bergantung kepada saiz storan anda.

14. Adalah bagus untuk anda hadir dengan sedikit makanan/ minuman, atau bawa teman bersama, kerana anda perlu menunggu di tepi telefon anda di sepanjang proses pindahan data tersebut.

15. Setelah selesai pindahan data ke telefon baharu, data dan fungsi keselamatan di telefon semasa akan dipadamkan.

16. Jika masih menggunakan kad SIM, ketika ini, kad SIM anda akan dipindahkan dari telefon semasa ke telefon baharu.

17. Personel di Apple TRX akan mengambil telefon lama anda, dan anda boleh mula menggunakan telefon baharu.

18. Jika perlu, anda bolehlah membeli aksesori tambahan seperti (perumah) casing, sarung/ selongsong telefon (phone protective case) atau (pelindung skrin) screen protector.


Ditulis oleh

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

23 September 2024

Sabtu, 30 Disember 2023

Lost World of Tambun: Mudahnya ada Apple Watch

Salam,


1. Dalam kesibukan guru-guru melancong sempena cuti sekolah, satu perkara yang jelas kelihatan ialah lebih banyak kedai menerima pembayaran secara tidak tunai.

2. Penggunaan kad kredit, kad debit, e-Dompet dan sebagainya, semakin mendapat tempat, dan tidak ketinggalan di pusat-pusat pelancongan.

3. Di Lost World of Tambun, saya dapati ada Apple Watch sangat memudahkan diri saya.

4. Di taman teman air seperti ini, sudah tentu dompet tidak ada di badan, hanya pakaian mandi dan kelengkapan paling ringkas.

5. Sungguhpun ringkas, pastikan diri menutup aurat dengan baik, dan tidak meliarkan pandangan melihat atau membayangkan apa-apa yang tidak wajar.

6. Walaupun ramai yang membawa iPhone terutama untuk mengambil gambar, tetapi disebabkan fitrah taman tema air yang akan basah, maka penggunaan bekas pelindung kalis air menjadi pilihan ramai untuk mengisi telefon mereka.

7. Dalam keadaan itu, walaupun ramai yang masih membawa duit - di dalam bekas pelindung kalis air itu -, penggunaan Apple Pay sangat memudahkan.

8. Walaupun boleh membuat pembayaran dengan menggunakan Apple Pay di iPhone, tetapi pengguna Apple Watch mendapat kelebihan kerana tidak perlu lagi mengeluarkan iPhone untuk pembayaran.

9. Hanya tekan butang di sisi dua kali, dan hulurkan tangan untuk pembayaran, ia sangat mudah.

10. Walaupun ia bermaksud, pengguna perlu ada banyak wang untuk dibelanjakan, tetapi, melancong bermaksud berbelanja dan mengeluarkan wang!

11. Untuk membeli air, makanan, dan pelbagai kegunaan pembayaran yang lain, ternyata penggunaan Apple Pay sangat memudahkan, dan dengan Apple Watch, ia lebih dimudah-mudahkan.

12. Cuma, saya tidak dapat beli satu aiskrim disebabkan reruai itu hanya menerima tunai sahaja!

13. Justeru, yang belum menggunakan Apple Watch, ia satu alat tambahan yang wajar untuk dipertimbangkan untuk dibeli.

14. Bagi yang sering tertinggal telefon, atau sering kehilangan telefon, atau tidak suka membawa telefon contohnya ke surau, Apple Watch adalah pilihan yang wajar.

15. Ia mahal, tetapi ia memudahkan.

16. Ia perlu dicas setiap hari, tetapi itu tidak menjadi masalah, kerana lumrah manusia memang akan menanggalkan jam dalam keadaan tertentu, seperti membuang air besar, mandi, dan sebagainya.

17. Pengembara dapat menggunakan ciri pembayaran di pelbagai tempat, ditambah fungsi mencari arah Qiblat yang memudahkan kehidupan dan `ibadah.


Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin

30 Disember 2023

INGATAN untuk pengguna Apple Maps di Tambun

Salam,


1. Jika ada pengguna Apple Maps di Tambun, Perak, anda diharapkan agar berhati-hati apabila menggunakan Apple Maps.

2. Saya dapati ada beberapa kali, Apple Maps menunjukkan laluan salah bagi jalan, contohnya jalan sehala ke kiri, tetapi disuruh ke kanan.

3. Kali yang lain, jalan ialah jalan masuk dari jalan utama, tetapi Apple Maps mengarahkan pengguna keluar melalui jalan masuk itu.

4. Hal ini boleh membahayakan pengguna, terutama pelancong atau pengguna jalan tersebut kali pertama.

5. Namun, adalah masih berbaloi untuk menggunakan Apple Maps terutama bagi pengguna Apple Watch.

6. Kata kuncinya, sebagai manusia berakal, masih kena guna akal dan deria sendiri, kerana teknologi juga mungkin ada kesalahan.


Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

30 Disember 2023

Sabtu, 11 November 2023

Mencari Arah Qiblat Semudah ABC dengan Apple Watch

Salam,


1. Sebagai seorang Muslim, mencari arah Qiblat adalah satu perkara utama dalam kehidupan, disebabkan seseorang Muslim diwajibkan bersalat sebanyak lima kali sehari semalam.

2. Dengan Apple Watch, Qiblat boleh dicari dengan sangat mudah, dan tidak ada lagi keraguan terhadap arah Qiblat.

3. Langkah pertama ialah dengan membuka Apple Maps, sama ada di iPhone atau di Apple Watch.

4. Pada bahagian Kegemaran (Favourites), pilih Add, atau tanda tambah.

5. Taip perkataan berikut: Ka’abah Al Musharafah dan tekan Selesai (Done).

6. Langkah kedua digunakan setiap kali ingin mencari arah Qiblat.

7. Pastikan tiada barang-barang logam yang boleh mengganggu fungsi magnet di sekitar anda.

8. Dengan menggunakan Apple Watch, seret muka jam ke atas.

9. Turun ke bawah, dan pilih “All Apps”.

10. Pilih apps Kompas (Compass).

11. Cara lebih mudah ialah dengan menyebut, “Hai Siri, buka Kompas” (Hi Siri, Open Compass).

12. Tekan pada huruf (i) di penjuru atas kiri.

13. Turun ke bawah dan pilih “Waypoints”.

14. Akan dipaparkan “My Places”, pilih “My Places”.

15. Turun ke bawah dan tekan “Mecca”.

16. Turun ke bawah dan pilih “Target Waypoint”.

17. Gerakkan jam sehingga bulatan merah berada di atas bulatan putih, dan itu ialah arah Qiblat.

18. Kini anda boleh bersalat dengan tenang walau di mana anda berada, bersama Apple Watch anda.

19. Anda kini boleh mencari arah Qiblat di hotel, di hutan, atau di tempat baharu dengan Apple Watch anda.


Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

11 November 2023



Pengalaman Menggunakan Apple Maps dengan Apple Watch

Salam,


1. Dalam keterbiasaan kita menggunakan Waze, adalah bagus untuk kita menerokai penggunaan Apple Maps.

2. Secara am, Apple Maps boleh digunakan untuk peri ke sesuatu destinasi, dan ia akan menunjukkan jalan yang boleh dilalui untuk sampai ke destinasi itu.

3. Jika mempunyai lebih dari satu jalan, ia akan terus menunjukkan jalan yang ada, dan memilih jalan yang paling laju.

4. Dengan cepat pula, kita boleh memilih sama ada mahu menaiki kereta, berjalan kaki, menaiki keretapi, basikal/ motosikal atau menggunakan apps tempahan.

5. Jika mahu, pengguna boleh juga menambah tempat perhentian, jika ada.

6. Pada paparan hadapan, akan terus dipaparkan perkataan “Now” (Sekarang), dan pengguna boleh memilih untuk pergi sekarang atau merancang pada masa depan.

7. Begitu juga, akan terus dipaparkan perkataan “Void” (Elak), dan terdapat pilihan untuk memilih mengelakkan tol atau jalan utama/ lebuh raya (Motorways).

8. Setelah itu, pengguna perlu menekan “Go” (Pergi), dan perjalanan akan dimulakan.

9. Bagi pengguna Apple Watch, setting ini boleh dibuat di Apple Watch, atau iPhone, dan secara serta-merta, iPhone akan diaktifkan dengan Apple Maps yang menunjukkan jalan yang akan dilalui.

10. Pada masa yang sama, di Apple Watch akan dipaparkan simpang-simpang yang perlu diambil, DAN yang paling menarik, ia akan bergegar sebanyak tiga kali, sebelum setiap simpang.

11. Ciri gegar ini paling menarik, dan ia dapat memastikan pengguna tidak terlepas simpang, berbanding sekadar mendengar arahan, yang mungkin akan terlepas dengar.

12. Di iPhone akan dipaparkan tiga maklumat di bahagian bawah, iaitu masa ketibaan (arrival), berapa minit lagi perjalanan dan berapa kilometer lagi.

13. Ada butang pilihan lain (more) berbentuk segi tiga ke atas di sebelah kanan, dan butang ini membolehkan pengguna membuat beberapa pilihan lain.

14. Pilihan pertama ialah pengguna boleh menambah perhentian pada bila-bila masa, jika ada.

15. Pengguna juga boleh berkongsi jangka masa tiba (JMT) atau ETA melalui mesej.

16. Jika berlaku sesuatu di perjalanan, pengguna boleh memilih untuk melaporkan kejadian.

17. Walau bagaimanapun, hanya tiga kejadian yang boleh dilaporkan, iaitu kemalangan (Crash), bahaya (Hazard) dan perangkap halaju (Speed Check).

18. Pengguna juga boleh memilih tiga pilihan kekuatan suara.

19. Secara am, pengguna boleh menukar suara Apple Maps, dengan menggunakan iPhone.

20. Bagi menukar bahasa, pengguna perlu memilih Siri & Search, dan menukar bahasa Siri melalui Language.

21. Berbeza dengan Waze (Melayu), Apple Maps memilih cara navigate yang berbeza.

22. Pengguna akan mendengar arahan yang berbeza daripada Waze, kerana ada maklumat tambahan seperti “Sepanjang 2.6 kilometer, setelah itu, belok kanan ke Jalan Maharaja”.

23. Menggunakan Apple Maps “lebih senyap” berbanding Waze, dan ia satu perkara yang menarik bagi yang kurant mahukan gangguan.

24. Dan yang paling menarik, bagi pengguna Apple Watch, ia ialah pengalaman yang berbeza dan menarik, terutama ciri gegar.

25. Bagi pengguna iPhone, ia juga apps yang wajar untuk dicuba bagi mendapatkan pengalaman berbeza.


Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

11 November 2023

Maktabah Syamilah untuk MacBook

Salam, 1.Berita baik bagi penuntut/ pengajar ilmu-ilmu agama/ Islam/ `Arab, terutama bagi pengguna Maktabah Syamilah, kerana ia kini sudah...