Ahad, 22 Oktober 2023

Apple Watch: Perlukah saya membelinya?

Salam,


1. Secara am, Apple Watch ialah seutas jam pintar yang mahal.

2. Disebabkan harganya, bukanlah menjadi satu keperluan untuk seseorang membeli Apple Watch, kerana terdapat pelbagai jenis jam tangan yang lebih murah dan mampu dimiliki.

3. Walau bagaimanapun, bagi yang ingin membeli dan memiliki Apple Watch, atau masih berkira-kira mahu membeli atau tidak, pengguna jam pintar ini akan menikmati beberapa kelebihan.

4. Yang paling utama, ia ialah jam tangan pintar, yang menggunakan Apple ID yang sama dengan iPhone.

5. Justeru, segala setting dan tetapan Apple Watch boleh dibuat di iPhone dengan mudah.

6. Contoh tetapan asas adalah seperti tarikh dan masa, dan ia akan menggunakan setting yang sama seperti iPhone, lantas memberikan tetapan tarikh masa yang tepat dan terkini.

7. Hal ini lebih ketara apabila seseorang mengembara ke zon waktu yang berbeza, jadi tarikh-masa di Apple Watch akan dikemas kini, sama seperti iPhone, secara automatik.

8. Paparan, antara muka, atau muka Apple Watch juga boleh diubah, ditukar-tukar, dan disetkan oleh pengguna.

9. Ini memberikan satu cita rasa dan kekreatifan terhadap pengguna Apple Watch, contohnya, seseorang boleh meletakkan gambar foto keluarga sebagai muka paparan muka Apple Watch.

10. Begitu juga dengan perincian yang ingin dipaparkan di antara muka Apple, pengguna boleh menetapkan perincian seperti tarikh, tarikh Hijriyyah, data cuaca, data kesihatan dan sebagainya.

11. Bagi yang memerlukan notifikasi segera, sama seperti di iPhone, di Apple Watch, notifikasi boleh disetkan agar semua data yang baru masuk dipaparkan seperti mesej, WhatsApp, Telegram, e-mel, Instagram dan sebagainya.

12.Justeru, anda tidak akan tertinggal mesej atau notifikasi penting yang mungkin terlepas jika anda berjauhan dengan iPhone anda.

13. Untuk mereka yang mementingkan nyawa, Apple Watch menawarkan pelbagai fungsi bantu untuk menyelamatkan nyawa, seperti notifikasi jika anda terjatuh, atau mengalami kemalangan jalan raya.

14. Dengan fungsi ini, orang yang tersayang serta pihak kecemasan akan dimaklumkan apabila kejadian tersebut berlaku, jika anda tidak menghentikan notifikasi itu setelah beberapa saat terjatuh.

15. Justeru, bagi orang yang menghadapi masalah sering jatuh, atau memandu jauh, atau usia sudah meningkat (seperti untuk ibu bapa), penggunaan Apple Watch mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda, dan mengelakkan seseorang mati tanpa disedari, atau mayat mereput sehingga beberapa lama sebelum dijumpai.

16. Bagi pengguna yang aktif bersukan dan ingin memastikan aktiviti fizikal kekal sepanjang tahun, Apple Watch menyediakan sensor yang menyukat pelbagai aktiviti, tenaga digunakan, pergerakan dan sebagainya yang diperlukan oleh ahli sukan.

17. Bagi yang sering terlupa atau tertinggal telefon, Apple Watch dengan selular (talian telefon) membolehkan anda membuat panggilan, menjawab mesej dan sebagainya, walaupun anda tertinggal telefon di rumah.

18. Begitu juga, jika anda kehilangan atau salah letak peranti Apple yang lain, Apple Watch boleh digunakan bagi mencari di mana peranti tersebut berada.

19. Bagi pengguna iPhone dan MacBook, Apple Watch boleh memudahkan anda membuka (nyahkunci, unlock) peranti anda, apabila Apple Watch berada berdekatan, dan tidak perlu menggunakan kod laluan (passcode) atau imbasan muka lagi.

20. Bagi pengguna yang biasa menggunakan ApplePay atau aplikasi Wallet, ia juga boleh digunakan di Apple Watch.

21. Justeru, jika anda tertinggal telefon atau dompet, masih banyak pembelian dan bayaran boleh dilaksanakan seperti mengisi minyak, membeli di pasaraya, dan lain-lain.

22. Secara am, Apple Watch ialah pelengkap kepada iPhone, yang memudahkan pengguna iPhone meneruskan hidup mereka dengan lebih berkualiti dan baik.

23. Ia tidak diperlukan jika anda tiada bajet, kerana banyak jam pintar yang jauh lebih mudah boleh melaksanakan sebahagian daripada apa yang ditawarkan Apple Watch.

24. Contohnya, jam Xiaomi Mi Band yang berharga kurang dua ratus ringgit, dapat melaksanakan banyak fungsi masa, kesihatan dan muzik, walaupun bukan seratus peratus seperti Apple Watch.

25. Fungsi pengesanan jatuh dan kemalangan itu belum tentu digunakan, jadi, berbaloi atau tidak berbelanja ribuan ringgit untuk 30 saat kemalangan, yang boleh menentukan sama ada anda dapat diselamatkan daripada kematian, mungkin tidak sepenting perbelanjaan lain.

26. Nyawa dan ajal telah ditentukan, justeru, mungkin fungsi tersebut tidak diperlukan... hinggalah apabila sudah menyesal tidak dapat menyelamatkan nyawa diri sendiri atau orang tersayang!


Ditulis oleh,

Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

22 Oktober 2023

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Maktabah Syamilah untuk MacBook

Salam, 1.Berita baik bagi penuntut/ pengajar ilmu-ilmu agama/ Islam/ `Arab, terutama bagi pengguna Maktabah Syamilah, kerana ia kini sudah...