Salam,
1. Ramai yang mengalami kesusahan - walaupun mendapat RM 100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) - kerana ingin berbelanja tepat RM 100 agar tidak rugi dan tidak perlu membayar lebih.
2. Perlu diketahui bahawa RM 100 itu ialah jumlah yang diberikan, dan jika anda ingin membeli melebihi nilai, anda hanya perlu membayar berapa nilai yang melebihi RM 100 itu.
3. Contohnya, pembelian anda bernilai RM 101, jadi anda hanya perlu membayar RM 1 (satu ringgit sahaja), dan ini seharusnya tidak membebankan.
4. Masalah sebenar ialah untuk membeli-belah sambil membuat pengiraan matematik, sambil mata melilau mencari dan meneliti barangan, sambil bersambang dengan pasangan, atau mendamaikan anak yang ingin membeli setiap yang dilihat dan yang dipegang.
5. Sebagai manusia yang leka, yang lalai, yang lemah matematik, maka Apple Watch adalah satu alat yang boleh membantu anda mengira apa jumlah harga barangan yang anda masukkan ke dalam bakul.
6. Lihat pada senarai apps, dan pilih kalkulator.
7. Pilih barangan yang ingin dibeli, contohnya Nestum 3 dalam 1, dan taip harganya dalam kalkulator Apple Watch. Taip 11.90 dan tekan tanda tambah (+).
8. Pilih barangan berikutnya, contohnya Vico 3 dalam 1, dan taip harganya. Contohnya 13.99 dan tekan tanda tambah (+).
9. Kalkulator Apple Watch anda akan menunjukkan nilai akhir iaitu 25.89.
10. Teruskan berbelanja sehingga mencapai nilai RM 100 tepat, atau lebih sedikit.
11. Kemahiran ini boleh juga digunakan untuk mengehadkan diri ketika membeli-belah pada ketika lain, contohnya, ayah berkata kepada anaknya, “Untuk kali ini, hanya boleh berbelanja RM 50 sahaja”.
12. Tambahan nilai beberapa ringgit yang lebih dari RM 100 itu juga boleh dibayar dengan Apple Watch melalui Wallet.
13. Sebagai alternatif, anda boleh juga membawa kalkulator yang biasa digunakan oleh murid di sekolah, atau kalkulator saintifik, atau kalkulator lain, namun kurang praktikal.
14. Begitu juga, anda boleh menggunakan kalkulator di dalam iPhone anda, tetapi untuk pegang, taip, simpan balik di dalam beg, keluarkan semula, unlock, taip, … agak menyusahkan.
15. Jadi, bagi pengguna Apple Watch, anda kini boleh berbelanja mengikut nilai hasil tambah, dan bukan lagi mengikut nafsu.
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin
20 September 2025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan